“Hehe...tiada siapa boleh jumpa saya !!!! Pembunuh Parhwine Kaur” ini
paparan Facebook (FB) milik mangsa bunuh, Parhwine Lucia Mejia Kaur, 18,
yang tersebar di laman sosial itu sejak semalam.
Status FB yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu dikemas kini jam 3.33
petang kelmarin oleh orang yang disyaki bertanggungjawab terhadap
pembunuhan remaja malang itu.
Dalam paparan itu, terdapat juga komen balas daripada dua individu
dipercayai rakan mangsa mengecam perbuatan pelaku terbabit namun, dia
dengan selamba membalas “bapak dia selalu cakap lebih...suruh ah tangkap
aku...” dan “kenapa tangkap orang yang tak bersalah...!!!!?!?”
seolah-olah mengejek pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias ketika
dihubungi berkata, pihaknya menyiasat status laman sosial yang tersebar
itu bagi memastikan sama ada ia benar atau palsu.
“Kita menahan seorang lelaki yang juga teman lelaki mangsa kelmarin dan
kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.
Harian Metro Rabu lalu melaporkan, seorang remaja perempuan ditemui maut
dengan kesan luka kecil berlubang di lehernya dalam longkang padang
bola sepak sebuah kawasan perumahan di Jalan Tiung 5, Puchong Jaya,
dekat Serdang.
Mayatnya ditemui tertiarap dengan lengkap berpakaian oleh beberapa
penduduk kawasan berkenaan yang bermain bola sebelum mereka menghubungi
polis.
- Harian Metro
No comments:
Post a Comment